Friday, 13 May 2022

BAGAIMANAKAH RM330 DIBELANJAKAN?

 

QURBAN/AQIQAH 2022/1443H: BAGAIMANAKAH RM330 DIBELANJAKAN?


1- Bagaimanakah RM330 dibelanjakan?

Sumbangan Qurban/Aqiqah RM330 adalah penyertaan untuk satu (01) bahagian Qurban/Aqiqah dari tujuh (07) bahagian bagi seekor lembu. Sumbangan Tuan/Puan RM330 akan dicampurkan dengan sumbangan enam (06) peserta yang lain untuk membeli seekor lembu Qurban/Aqiqah.

RM330 x 7 peserta = RM2310

Harga lembu Qurban/Aqiqah semasa bagi tahun 2022 yang sihat dan gemuk (kita amat teliti dalam pemilihan lembu bagi memaksimumkan keafdhalan ibadat Qurban/Aqiqah) adalah dalam RM1950-RM2150 untuk seekor. Kita andaikan harganya ialah RM2060 untuk seekor (berlaku sedikit kenaikan harga di musim pandemik COVID 19 di negara2 peserta)

RM2310 (Duit Terkumpul Dari 7 peserta) - RM2060 (Harga Lembu) = RM250

RM250 adalah lebihan dari sumbangan tujuh (07) peserta Qurban/Aqiqah bagi seekor lembu yang dibeli. Nilai derma untuk seorang peserta dalam program Qurban /Aqiqah ini ialah:

RM250 ÷ 7 peserta = RM35+

Jadi, derma Tuan/Puan bagi setiap RM330 yang disumbangkan dalam program ini ialah RM35+.

Beginilah cara kami menjalankan amanah membantu saudara kita di sana yang memerlukan keprihatinan dan sumbangan bagi pembangunan Islam di sana, dan ini bukanlah satu bentuk perniagaan untuk mencari keuntungan tetapi lebih berupa usaha mempertautkan ukhuwwah dan tali perkenalan serta mahabbah antara saudara seMuslim kita. Fikir-fikirkan lah.


2- Kemanakah duit lebihan RM250 bagi seekor lembu Qurban/Aqiqah disalurkan?

Duit lebihan tersebut akan disalurkan antaranya kepada perkara-perkara berikut:

1.   Pengurusan. 2. Dana Kelas Fardhu 'Ain . 3. Sumbangan Ibu Tunggal. 4. Fakir Miskin. 5. Derma untuk Pembangunan Masjid, Pondok2 Pengajian & Maahad2 Tahfiz. 6. Sumbangan Duit Raya. 7. Sumbangan untuk anak-anak yatim

 3- Apakah yang dimaksudkan dengan perbelanjaan 'Pengurusan' ?

Perbelanjaan 'Pengurusan' adalah perbelanjaan atau kos modus operandi kami bagi menjalankan amanah Qurban/Aqiqah, bermula dari kos pengiklanan sehinggalah lembu/kambing Qurban/Aqiqah disembelih dan kami kembali semula ke tanahair, Malaysia.

Secara terperincinya, perbelanjaan ini adalah meliputi antaranya:

1-     Pengiklanan. (perbelanjaan bagi percetakan borang Qurban/Aqiqah, poster, banner, fotostat, pengagihan borang ke masjid2 dan surau2 disekitar KL, Selangor, Putrajaya dan lain-lain).



2-     Tiket penerbangan: (Kami berdoa semoga tahun ni seperti tahun2 sebelumnya kami boleh travel)


i. KL – Phnom Penh – KL (MAS/AA) untuk team kami 'Team Sinar Korban' seramai empat (04) orang:


      4 orang x RM550 (harga tiket) = RM2200.

     Jika penyertaan peserta tidak ramai dalam program ini terpaksalah kami mengeluarkan belanja sendiri bagi menampung kos operasi ini. Seandainya ada sepuluh (10) ekor lembu sahaja bermakna duit lebihan terkumpul ialah RM250 x 10 ekor lembu = RM2500. sedangkan tiket sahaja kosnya RM2200. Fikir-fikirkan lah!

ii. KL - Dhaka - Chittagong - Dhaka - KL (MAS/AA). Team kami seramai tiga (03) orang akan ke sana.

  3 orang x RM1700 (harga tiket) = RM5100.

iii. KL - Colombo - KL (MAS/AA) untuk team Sinar Korban Sri Lanka seramai dua (02) orang:

  2 orang x RM1200 (harga tiket) = RM2400.

i (RM2200) + ii (RM5100) + iii (RM2400) = RM9700


iv. KL - Afrika - KL. AlhamduliLLAH bermula dari tahun 2018, kita telah mengembangkan sayap misi kita ke Afrika, antara negara2 peserta setakat ini adalah Tanzania dan Madagascar. Harga tiket tentulah lebih tinggi, dan ini melibatkan implikasi kewangan yang lebih besar. Ianya melibatkan jalur penerbangan KL-Addis Ababa-KL, KL-Dar Es Salaam-KL dan KL-Antananarivo-KL. Penerbangannya adalah memakan masa mungkin berbelas jam dan 1-2x transit.

3-     Penginapan di hotel dan homestay.

i. Kemboja: Kami bermalam sekurang-kurangnya empat (04) malam di hotel di Phnom Penh : satu malam (01) pada hari ketibaan dari KL dan tiga (03) malam selepas selesai 'kerja' Qurban/Aqiqah iaitu pada hari berangkat ke KL. Kos hotel adalah RM150 untuk satu bilik dan kami memerlukan dua (02) bilik 'twin sharing':

RM150 x 2 bilik = RM300 (untuk satu malam)
RM300 x 4 malam = RM1200 (adalah untuk kos hotel bagi empat (04) malam)

Penginapan kami di homestay di kawasan pedalaman Kemboja mengambil masa sekurang-kurangnya tiga (03) malam. Kami akan memberikan saguhati pada tuan rumah lebih kurang RM600.

hotel (RM1200) + homestay (RM600) = RM1800

 Imbuhan untuk Homestay

      ii. Bangladesh/Rohingya: Kami akan bermalam sekurang2nya dua (02) malam di Dhaka: hari ketibaan dari KL dan ketika hendak bermusafir balik ke KL setelah selesai 'kerja2' Qurban/Aqiqah. Sementara itu di Chittagong kami akan bermalam juga dua (02) malam: Satu malam (01) pada hari ketibaan dari Dhaka dan hari keberangkatan ke Dhaka. Kos hotel adalah RM170 untuk satu (01) bilik dan kami memerlukan dua (02) bilik:

RM170 x 2 bilik = RM340 (untuk 1 malam)
RM340 x 4 malam = RM1360 (adalah untuk kos hotel bagi empat (04) malam)

Penginapan kami di homestay di kawasan perkampungan Bangladesh (West Bhujpur, Fatikchari, Chittagong) mengambil masa sekurang-kurangnya tiga (03) malam. Kami akan memberikan saguhati pada tuan rumah lebih kurang RM600.

hotel (RM1360) + homestay (RM600) = RM1960

Untuk ke kem2 Rohingya, kami akan bermalam di Cox Bazaar, dari Cox Bazaar kami akan bergerak ke kem2 di Balukhali, Kutupalong, Gundhum dan juga kem2 di Teknaf.

iii. Sri Lanka: Kami bermalam dua (02) malam di Colombo dan tiga (03) malam di Hambatouta atau Vavuniya. Kos hotel untuk semalam (01) untuk satu (01) bilik ialah RM160:

RM160 x 5 malam = RM800

i (penginapan di Kemboja RM1800) + ii (penginapan di Bangladesh RM1960) + (penginapan di Sri Lanka RM800) = RM4560

4-     Makan-minum kami sepanjang berada di Kemboja, Bangladesh, Sri Lanka dan Afrika (Tanzania dan Madagascar).

Makanan Halal di Phnom Penh, Kemboja harganya adalah lebih mahal berbanding di Malaysia.

Sementara itu di Bangladesh, bagi menjaga agar tidak berlaku perkara-perkara yang tidak diingini seperti keracunan makanan atau seumpamanya, kami hanya makan di restoran-restoran tertentu sahaja yang dijamin kebersihannya, dan ini harganya agak lebih tinggi berbanding dengan tempat-tempat yang lain. 

Kami juga membayar kos makan-minum sepanjang penginapan di homestay di pendalaman Kemboja dan Bangladesh.

Di Sri Lanka keadaannya tidak jauh berbeza berbanding Bangladesh, kami memilih restoran atau kedai makan yang dijamin kebersihan dan kehalalannya. Kebiasaanya restoran yang ada ditulis 'MasyaALLAH' adalah kepunyaan orang Islam dan halal.

5-     Sewa kenderaan beserta pemandu sepanjang kami berada di Kemboja dan Bangladesh.

Kos untuk sewa kenderaan (pacuan 4 roda/van) ialah RM350 bagi satu hari di Kemboja. Kami akan menyewa kenderaan tersebut sekurang-kurangnya selama lima (05) hari:

RM350 x 5 hari =  RM1750.

Kemboja: Homestay, Kenderaan Sewaan
dan Rupabentuk Jalan yang Kami Tempuhi
(sila klik untuk membesarkan saiz gambar)
Bangladesh
Homestay kami di Bangladesh
Sementara itu pula di Bangladesh kos menyewa kenderaan (kereta) berserta pemandu ialah RM250:
RM250 x 5 hari = RM1250.

Di dalam bandar Phnom Penh, Kemboja, Chittagong dan Dhaka, Bangladesh, Colombo biasanya kami meggunakan Tuk Tuk bagi memudahkan pergerakan dan lebih jimat.

Di Sri Lanka kami menggunakan pengangkutan awam untuk ke Bandar Hambatouta dan untuk ke Vavuniya kami menyewa kenderaan beserta dengan pemandu, kosnya RM200 x 5 hari = RM1000. Di dalam bandar dan kawasan perkampungan  kami menggunakan perkhidmatan 'tuk tuk' yang agak lebih murah dan efisyen bagi memantau 'kerja-kerja' Qurban/Aqiqah.
6-     Imbuhan: ianya diberikan kepada wakil kami di Kemboja, Bangladesh dan Sri Lanka juga Afrika (Tanzania dan Madagascar) yang membuat tempahan lembu Qurban/Aqiqah, mengatur jadual perjalanan kami dan pengagihan daging Qurban/Aqiqah ke kampung-kampung dan kawasan pedalaman. Merekalah yang banyak membantu kami bagi memastikan program ini berjalan lancar. Ini adalah sebagai penghargaan kepada usaha dan kegigihan mereka.
'orang kuat' Team Sinar Korban Kemboja

'orang kuat' Team Sinar Korban Bangladesh
Team Sinar Korban Sri Lanka

7-     Kos percetakan, fotostat dan 'pengeposan' sijil2 penyertaan Qurban/Aqiqah. Sijil2 penyertaan ini akan di'stamp' dan ditandatangani oleh Imam Kampung/Ketua Kampung/mudir madrasah/NGO setempat sebagai bukti bahawa amanah telah disempurnakan. Sijil akan diposkan -InsyaALLAH- kepada peserta SELEPAS 4-5 BULAN 'kerja' Qurban/Aqiqah disempurnakan bagi peserta yg berminat untuk mendapatkan sijil 'hardcopy', selain dari itu, sijil2 ini akan di'WhatsApp'kan kepada para peserta.
Sijil Pengesahan Korban/Aqiqah

8-     Kos Panggilan Tempatan dan Antarabangsa.

 4- Apakah yang dimaksudkan dengan 'Dana Kelas Fardhu 'Ain' ?

Dana Kelas Fardhu 'Ain adalah meliputi saguhati/imbuhan kepada Guru-Guru Agama, pembelian alat-alat tulis, buku tulis, buku-buku teks, Al Quran, peralatan sekolah, pakaian sekolah, pemberian telekong Solat dan sebagainya. Ada 30 buah sekolah/madrasah/maahad tahfiz berada dalam senarai penerima bantuan kami, kita berharap bilangan ini akan bertambah dari semasa ke semasa.

Untuk makluman Tuan/Puan, Guru-Guru Agama di Kemboja maupun di Bangladesh tiada gaji tetap bulanan (kecuali beberapa sekolah/madrasah di Kemboja yang berdaftar dengan Pejabat Mufti Kemboja), mereka hanya mengharapkan ihsan dari orang kampung yang rata-ratanya adalah dalam keadaan serba kekurangan. Paling banyak pun pendapatan mereka sebulan adalah dalam sekitar RM150 – RM200 sahaja. Fikir-fikirkan lah!

Di Bangladesh guru-guru Agama diberi dalam sekitar RM200 - RM250 sebulan.

AlhamduLILLAH, dengan izin ALLAH swt, setakat ini kita telah berjaya menyediakan imbuhan bulanan secara tetap kepada lebih 30 orang guru-guru Agama di Kemboja dan Bangladesh. Dengan adanya imbuhan secara tetap ini akan memastikan kelangsungan Kelas-Kelas Fardhu 'Ain dengan izin ALLAH swt. Semoga bantuan ini menjadi 'amal jariah' untuk kita dan pahalanya mengalir kepada kita untuk selama-lamanya. Amin2

Kemboja: bantuan alatulis, buku rampaian, kitab2
(sila klik untuk membesarkan saiz gambar)
Bangladesh: sumbangan buku rampaian, wakaf Al Quran
 dan pakaian 'sejuk' kepada pelajar madrasah dan anak-anak yatim
Sumbangan Kitab Kelas Fardhu 'Ain dan Alatulis
Imbuhan Guru Fardhu 'Ain
(sila klik untuk membesarkan saiz gambar)

Sumbangan Al-Quran dan Telekong Solat
(sila klik untuk membesarkan saiz gambar)


Sumbangan Hari Raya

 5- Bagaimanakah Modus Operandi penyembelihan?

Wakil kami di Kemboja, Bangladesh, Sri Lanka dan Afrika (Tanzania dan Madagascar) akan membuat tempahan lembu berdasarkan amanah yang kami terima dari Tuan/Puan. Lembu-lembu Qurban/Aqiqah tersebut akan diagihkan ke kampung-kampung terpilih.

Apabila kami tiba di Kemboja, Bangladesh dan Sri Lanka juga Afrika (Tanzania dan Madagscar) kami akan memastikan bahawa lembu-lembu tersebut adalah mengikut kriteria 'keafdhalan' dalam ibadat Qurban/Aqiqah. Mana-mana lembu yang tidak menepati kriteria tersebut akan diganti dengan lembu yang lain.

Sebelum penyembelihan disempurnakan, kami akan membaca nama-nama peserta Qurban/Aqiqah, kami akan memastikan penyembelihan dilakukan dengan kehadiran kami dan dalam pengetahuan kami.

  Modus Operandi Penyembelihan 

 Kemboja: Membaca Nama2 Peserta Qurban/Aqiqah
dan Majlis Jamuan Raya
(sila klik untuk membesarkan saiz gambar)
Bangladesh
Bangladesh
Sri Lanka
 6- Kemanakah daging Qurban akan diagihkan?

Daging Qurban/Aqiqah akan diagihkan ke kawasan pedalaman dan kampung-kampung terpencil yang jauh dari bandar-bandar, samada di Kemboja, Bangladesh atau Sri Lanka dan Afrika (Tanzania dan Madagascar)Ada di antaranya hanya kenderaan pacuan 4 roda sahaja yang boleh memasukinya. Setengah kampung-kampung terpencil ini hanya boleh dimasuki dengan motorsikal atau berjalan kaki dan juga merentasi kawasan semak, berpaya dan sawah-sawah padi. Di antara kampung-kampung yang kami lawati mereka mengatakan bahawa kami adalah 'orang Malaysia' pertama yang sampai ke kampung mereka dan sebelum ini belum pernah daging Qurban/Aqiqah diagihkan kepada mereka.



Di Kemboja, kami berkerjasama dengan Persatuan Ulama Kemboja yang diketuai oleh Ust Dr Basri Ahmad, Maahad Tahfiz Darul Quran dan Madrasah Tahfiz Al Muttaqin. Antara tempat-tempat yang kami agihkan daging-daging Qurban ialah di pedalaman Negeri Kampong Cham: Kg KM34, Km31, KM30, KM25, Km24, KM21, KM20, KM16 (Daerah Khebob), Rumchek, Chhlong, Chor Chomrong, Chor, Jui Cham, Rhor, Thnot, Pum Tmer, Jumnit, Roka Khnor, Pum Syoi, Ampel, Pas, Khepop, Prik Kut, Pum Triel, Meak, Sriel Viel, Sper, Stern dan lain-lain lagi. Kami juga menghantar lembu-lembu Qurban ke negeri-negeri lain seperti RattanakiriKampotMondulkiriKratieKg ChhnangPosat dan Battambang.



Sementara itu di Bangladesh, Team kami akan mengagihkan daging-daging Qurban/Aqiqah di pedalaman yang miskin di Chittagong iaitu di sekitar daerah Bhujpur, Fatikchhari, Kazir Hat, Azimpur, Andhar Manik, Baidya Para, Baddorpar, Rosanigagona, West Bhujpur, Singhoria, East Bhujpur, East Porbo Koia, Mirkhil dan lain-lain lagi. Team kami di Bangladesh diketuai oleh Maulana Arshad Al Hafiz dan dibantu oleh Maulana Nurul Islam, Mudir Madrasah Tahfiz Al Quran Wa Darul Aitam serta beberapa orang yang lain, antaranya ialah Maulana Abu Bakar Al Hafiz dan Maulana Jamaluddin Al Hafiz serta beberapa orang lagi guru-guru Agama dari Maahad Tahfiz Abu Hurairah dan Universiti Islam Bhujpur, Chittagong.

Sebahagian dari lembu-lembu Qurban/Aqiqah ini akan dibawa juga ke kem-kem pelarian Rohingya terutamanya di Cox's Bazar yang terletak 150km dari Chittagong dan Teknaf yang bersempadan dengan Myanmar.

Kami juga dibantu oleh Dr Abdullah Al Masud selaku presiden Southern Charity Foundation of Bangladesh (SCF) bagi pengagihan daging Qurban/Aqiqah di bahagian barat daya dan selatan Bangladesh seperti Shyamnagar, Satkhira, Khulna dan Chalna.
Di Sri Lanka, daging-daging Qurban/Aqiqah diagihkan ke kampung2 dan penempatan2 orang Islam sekitar Hambantouta, Ambalantouta, Tissamaharama, Godayaya, Wellgatta, Ridiyagama, Beragama, Gannoruwa, Pannegamuwa dan lain2. Hambantouta adalah sebuah pelabuhan yang terletak di selatan Sri Lanka, yang menariknya di sini adalah ianya didiami oleh komuniti Melayu Islam Sri Lanka yang berasal dari Malaysia dan Indonesia.

Pengagihan juga dilakukan di sekitar Vavuniya, sebuah bandar di utara Sri Lanka, yg dulu merupakan tempat larangan kepada pelancong kerana ianya menjadi kubu kuat tentera pemberontak Tiger Tamil Eelam (LTTE). Kampung2 sekitar Vavuniya didiami oleh orang2 Islam berbahasa Tamil. Yang menarik di Sri Lanka ialah majoriti Umat Islam adalah bermazhab Shafei.

Pada tahun 2018/2019/2020/2021, dengan izin ALLAH swt pengagihan telah diluaskan ke kawasan timur Sri Lanka di sekitar Monaragala, Medagama, Wattegama dan Buttala.
Team Sinar Korban di Afrika (Tanzania dan Madagascar) adalah terdiri drp bekas pelajar2 PhD di sebuah universiti awam Malaysia. Sekarang ini mereka sudah memegang jawatan pensyarah di universiti negara masing2. Mereka adalah sukarelawan yang bersemangat utk membantu Sinar Korban bagi menjayakan misi ini.
Pada tahun 2019/2020, di Tanzania, daging Qurban/Aqiqah diagihkan di sekitar Dar Es SalaamMorogoro, Kimamba, Magole dll. Sementara di Madagascar diagihkan di sekitar Toliara (selatan Madagascar)


7- Bolehkah saya memberikan sumbangan dalam bentuk lain dari sumbangan Qurban/Aqiqah? sila lihat aktiviti2 kami di FB sinarkorban

Ya, boleh, Tuan/Puan boleh memberikan sumbangan dalam bentuk derma, sedekah, zakat, fidyah, kaffarah dan lain-lain lagi untuk diagihkan kepada umat Islam di negara2 peserta. Kami akan mengagihkannya kepada golongan yang amat memerlukannya dan akan digunakannya bagi pembangunan syiar Islam di sana. Mudah-mudahan sumbangan ini akan memberatkan MIZAN kita kelak di Akhirat. Amin2.

 Dana Pembangunan Masjid
Pengagihan Zakat, Kaffarah dan Fidyah
 Sumbangan Ibu Bersalin

8- Apakah aktiviti lain yang dijalankan oleh Team Sinar Korban selain program Qurban/Aqiqah ?

Banyak lagi aktiviti-aktiviti lain yang kami jalankan samada di Malaysia, Kemboja, Bangladesh, Rohingya, Sri Lanka, Jordan (Kem2 Pelarian Syria) dan Afrika (Tanzania dan Madagascar), dan kami mengalu-alukan sokongan Tuan/Puan, antaranya ialah:

1. Majlis Iftar di bulan Ramadhan.
2. Bantuan Beras dan Food Box kepada fakir miskin.
3. Bantuan Kewangan kepada Guru-Guru Agama.
4. Bantuan Kewangan kepada Pelajar-Pelajar.
5. Wakaf Telekong Solat.
6. Percetakan/Pembelian Kitab-kitab Agama/Tafsir (Wakaf).
7. Pembinaan Madrasah/Pondok Pengajian.
8. Pembinaan Asrama.
9. Pembinaan Masjid.
10. Penajaan pembelajaran untuk anak-anak yatim.
11. Wakaf Perigi Pump.
12. Wakaf Al-Quran.
13. Wakaf Sejadah Imam.
14. Wakaf Solar bagi Masjid2 dan Surau2.
15. Wakaf Mesin Jahit bagi Ibu Tunggal dan Keluarga Miskin.
16. Wakaf Shelter bagi Pelarian Rohingya.


Bangladesh: Antara anak yatim yang ditaja
pembelajaran 'tahfiz'nya oleh Sinar Korban
 Iftar Ramadhan Bersama Pelajar Kemboja di UIAM
Sebahagian Telaga Pump Wakaf












Sekianlah serba ringkas penerangan yang mampu kami tuliskan di sini terhadap usaha kerdil ini, agar semua usaha yang dijalankan ini mendapat perkenan, restu dan dikurniakan keberkatan di sisi ALLAH swt serta mampu memberatkan MIZAN kita dan melancarkan perjalanan kita di atas 'AS SIRAT AL MUSTAQIM' di Akhirat kelak. Amin2.


Terimakasih,
Ust Dr Rahmat Abdullah (019 393 2200)
Mentor 'Team Sinar Korban'
FB: sinar korban
Page: Khairat Global Network

No comments:

Post a Comment